Friday 17 April 2015

NAMA PERAHU




Nama perahu yang kebanyakannya tidak dilabel, merupakan perkara utama perlu diketahui apabila mula menjejaki ilustrasi dan maklumat perahu sejarah di dalam khazanah rekod-rekod lama. Begitu juga dalam teks-teks kesusteraan Melayu zaman dahulu. Nama-nama perahu yang dicatat tidak disertakan dengan rajah atau lakaran; menyebabkan rupa bentuknya agak sukar untuk dibayangkan.

Keadaan ini menimbulkan kekecewaan dan mengurangkan keseronokan pembuat replika yang serius kerana setiap model perahu sepatutnya mempunyai nama khas bagi merujuk kepada perahu sebenar. Kegagalan menamakan model perahu tanpa nama ini mampu mengurangkan kesan nilai sejarah dan ketulenannya akan terjejas. Kesahihan dan kewujudan perahu model ini mungkin diragui.  

Perahu-perahu tanpa nama ini jika dibuat dalam bentuk replika, tidak boleh dinamakan secara semberono. Terdapat beberapa kaedah yang boleh diguna untuk menamakan replika tersebut setepat yang mungkin agar tidak lari dari tatacara masyarakat dahulu menamakan perahu. Jika diteliti secara mendalam, kebanyakan perahu ini kebiasaannya dinamakan mengikut kaedah tertentu, antaranya :-


1.   Nama Umum -  rujukan secara umum

      1.1  Bentuk Umum Perahu

             1.1.1  Perahu Besar
             1.1.2  Perahu Panjang
             1.1.3  Perahu Bunting

      1.2  Kegunaan Perahu

             1.2.1  Perahu Tambang - Membawa penumpang.
             1.2.2  Perahu Dagang
             1.2.3  Perahu Perang

      1.3  Bangsa/Suku/Pemilik Perahu
           
             1.3.1  Perahu Aceh
             1.3.2  Perahu Bugis
             1.3.3  Perahu Raja

      1.4  Kota/Daerah/Negeri

             1.4.1  Perahu Makassar
             1.4.2  Perahu Jambi
             1.4.3  Perahu Johor


2.    Nama Khusus -  rujukan ciri-ciri khusus yang ada pada sesebuah perahu.

       2.1  Ukiran Pada Haluan

              2.1.1  Perahu Naga
              2.1.2  Perahu Enggang
              2.1.3  Perahu Buaya

       2.2  Bentuk Profil Haluan

              2.2.1  Perahu Bedar Luang Sudu - Haluan menyerupai paruh itik.
              2.2.2  Perahu Dogol - Linggi yang ringkas tanpa hiasan.
              2.2.3  Perahu Pinas Golok - Haluan menyerupai golok.

       2.3   Keseluruhan rupa bentuk perahu atau profil lambung.

               2.3.1  Perahu Lancang
               2.3.2  Perahu Sekoci
               2.3.3  Perahu Penjajap

        2.4  Jenis Layar

               2.4.1  Perahu Sabang
               2.4.2  Perahu Kacik
               2.4.3  Perahu Nadir

        2.5  Sistem Layar

               2.5.1  Perahu Selup
               2.5.2  Perahu Katar
               2.5.3  Perahu Keci

     
 3.  Nama Khas - nama yang telah dikenal pasti benar milik sesebuah perahu dari             sumber lisan, rekod bergambar atau penerangan bertulis.  

        3.1  Nama Khas Nusantara

               3.1.1  Perahu Pangkur
               3.1.2. Perahu Bedar
               3.1.3  Perahu Kura-Kura

        3.2  Nama Khas Dari Luar Nusantara

               3.2.1  Perahu Gali/Galai/Garai = Galley
               3.2.2  Perahu Pragata = Frigate
               3.2.3. Perahu Gurab = Grab

        3.3  Nama Khas Yang Menggunakan Bahasa Suku Dan Daerah

               3.3.1  Perahu Cemplok - Jawa
               3.3.2  Perahu Patorani - Bugis
               3.3.3  Perahu Beluntu - Bawean



Kaedah No. 1 dan No. 2 di atas adalah antara cara yang boleh diguna untuk menentukan nama sesebuah replika perahu yang tidak bernama. Supaya dapat diterima dan kedengaran asli; pastikan nama yang diberi itu tidak terkeluar daripada lingkungan budaya penggunaan perkataan, istilah dan amalan maritim di Nusantara.

Penggunaan "nama khas" adalah yang terbaik. Namun jika ketandusan sumber, ciri-ciri khusus dan yang ketara atau unik pada perahu tersebut boleh dikaitkan dengan namanya. Sekiranya masih buntu, namakan sahaja perahu berkenaan secara rambang; cara paling mudah tetapi nyata nama yang diberi terlalu umum.                        


Contoh 1.


1.  Sampan Panjang @ Perahu Gubang

Dari gambar lakaran dan maklumat di atas, perahu tersebut boleh dinamakan:-

1. Perahu Gubang - Nama Khas.

2. Perahu Naga - Merujuk kepada ukiran di haluan.

3. Perahu Sabang - Merujuk kepada layar.

4. Sampan Panjang/Perahu Panjang - Merujuk kepada bentuk umum badan perahu.

5. Perahu Lumba - Kegunaan untuk berlumba atau atas kelajuannya.

6. Perahu Raja - Kebanyakannya milik kerabat raja dan bangsawan.

7. Perahu Selat - Kawasan yang biasa ditemui ie; Selat Melaka, Selat Singapura dan         sekitarnya.




2. Perahu Naga : Perahu Gubang Yang Diubahsuai Kegunaan Di Sungai Perak



Contoh 2.


3.  Perahu Pinas

Dari gambar lakaran dan maklumat di atas, ia boleh dinamakan sebagai :-


1. Perahu Pinas - Rujukan kepada bentuk khusus badan perahu secara keseluruhan.
                        - Rujukan kepada asal Nama Khas Eropah = Pinnace.

2. Perahu Sekunar - Merujuk kepada sistem layar.

3. Sekunar Melayu - Dibina dan diguna oleh Melayu Terengganu.

4. Perahu Dagang - Kegunaan.

5. Perahu Besar - Merujuk kepada saiz badan perahu secara umum.

6. Perahu Terengganu -  Asal Terengganu.

7. Pinas Golok - Profil haluan.

Nota : Perahu Pinas Terengganu pada awalnya menggunakan sistem layar "Sekunar", kemudian bertukar kepada Layar Apit.



4. Perahu Pinas Dogar



5. Perahu Pinas Golok



Contoh 3.


6.  Tongkang Melayu

Dari gambar lakaran di atas, nama yang boleh diberi ialah :-


1. Perahu Sekoci - Merujuk kepada bentuk khusus badan perahu secara keseluruhan.
                          - Rujukan kepada asal Nama Khas Eropah = Skotche.

2. Perahu Keci - Merujuk kepada sistem layar.

3. Tongkang - Kebiasaannya diguna untuk memindah barangan pukal dari pantai ke         kapal yang lebih besar di tengah laut.

4. Tongkang Melayu - Dibina, diguna dan dimiliki oleh Melayu di Selatan Tanah                  Melayu, Riau dan sekitarnya.



Faktor yang tidak kurang penting perlu diketahui mengenai nama sesebuah perahu ialah nama tersebut tidak semestinya mewakili hanya untuk sejenis perahu sahaja. Nama yang sama mungkin diberi kepada pelbagai jenis perahu walaupun bentuk fizikalnya berbeza sama sekali. Keadaan ini berlaku disebabkan setiap masyarakat setempat atau daerah mempunyai versi yang tersendiri.

Sebagai contoh, setiap masyarakat maritim di Nusantara masing-masing mempunyai perahu yang digunakan untuk menggangkut penumpang. Perahu ini mewarisi tradisi pembuatan yang berbeza antara satu sama lain. Atas dasar "kegunaan", secara umum semuanya akan dirujuk sebagai "Perahu Tambang". Kebiasaannya perahu-perahu ini mempunyai nama mengikut loghat daerah masing-masing.



7. Perahu Tambang  ( Perak )


8. Perahu Tambang ( Banjar ) Jukung Rangkang


9. Perahu Tambang  ( Madura )


Terdapat juga keadaan dimana pelbagai nama diguna untuk merujuk kepada hanya sejenis perahu. Keadaan ini berlaku apabila sesebuah perahu itu dibina berasaskan reka bentuk lambung yang sama tetapi diberikan nama yang berlainan; akibat dari kaedah penamaan perahu yang dijelaskan di atas: kegunaan yang berbeza, penggunaan layar yang berlainan, pemilik dan sebagainya.



10. Nama Umum : Perahu Bugis
Lambung Seragam : Perumah Dan Layar Berlainan : Pastinya Mempunyai Nama Khas Yang Berbeza.  



Dua perkara lagi yang perlu diketahui; nama untuk sesebuah perahu dalam rekod-rekod sejarah kerap bertukar walaupun sejenis disebabkan berlaku perubahan nama mengikut zaman ketika ia dicatat  dan selain itu, perahu berasaskan reka bentuk yang serupa juga seringkali mempunyai nama berbeza kerana berlainan saiz.



11. Perahu Padewakang Warisan Makassar / Bugis



12. Perahu Patorani : Rupa Bentuk Padewakang Bersaiz Kecil


Rumusan :- kesemua nama-nama perahu di atas benar belaka dan boleh diguna, cuma yang membezakan adalah sama ada bersifat umum, khusus atau khas. Nama yang paling tepat hendaklah dipilih terlebih dahulu sebelum diikuti dengan pilihan nama-nama lain mengikut turutan seperti di bawah.

1. Nama Khas - jika pasti.

2. Nama Khusus - jika mempunyai justifikasi.

3. Nama Umum - jika kriteria yang diperlukan untuk dua kaedah terdahulu tidak dapat     dipenuhi.



Bersambung......................... Lambung Perahu


Next   :    Skala.






4 comments:

  1. Hi! saya nak tanya. kalau balok itu perahu atau kapal? terima kasih :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Balok seerti dengan balak, Perahu yang dikeruk dari batang balak ie Dugout Canoe.

      Delete
  2. Dekat mana ya nak tengok replika Perahu Tambang Perak ye sebab macam dah pupus je dan cuma boleh dilihat dalam gambar sejarah saja.

    ReplyDelete
  3. mcm mana nk berhubung dengan tuan

    ReplyDelete